Kembangkan festival unggas antarabangsa
KOTA BHARU 1 Mei - Festival Unggas Antarabangsa Kelantan yang diadakan sejak tiga tahun lalu mempunyai potensi untuk dijadikan salah satu tarikan utama pelancong sekiranya ia dibuat dengan lebih besar, kreatif dan menarik.
Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib percaya ramai pelancong tertarik dengan festival yang melibatkan keunikan pertandingan kemerduan suara burung candek dan kecantikan ayam serama itu.
Malah beliau sendiri yang buat pertama kalinya menyaksikan festival berkenaan berasa amat tertarik.
"Kementerian akan menyokong usaha memperbesarkan program ini sekiranya mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan festival tersebut di sini hari ini.
Ia dianjurkan oleh Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) Kelantan, Persatuan Seni Suara Burung Candek (Candek) dan Persatuan Seni Kecantikan Ayam Serama Kelantan (Kerisma), yang disertai kira-kira 300 peserta termasuk dari Indonesia, Singapura dan Thailand.
Turut hadir Pengerusi MTPN, Abdul Aziz Derashid dan Pengurus Besar MTPN, Sulaiman Ismail.
Sebanyak 373 ekor burung dan 500 ayam dipertandingkan dan juara candek disandang oleh unggas milik Lee Chee Shion, 34, Ayam milik Ibrahim Ismail menjuarai kategori A untuk unggas yang beratnya 350 gram ke bawah, manakala kategori B dimenangi ayam peserta dari Singapura, Zaini Yahaya dan kategori ayam muda disandang oleh ayam Abong a/l Awat.
Selain itu, Sulaiman berkata, Kelantan yang kini terkenal dengan seni budaya dan makanan perlu turut mempromosikan alam semula jadinya yang banyak masih belum terusik seperti Tasek Pergau, Gunong Stong dan Gua Ikan.
"Pelancong asing lebih berminat berada dalam suasana alam semula jadi dan negara kita mempunyai banyak kekayaan itu untuk diketengahkan," ujar beliau.
Sumber : Utusan Malaysia, 2 Mei 2008
No comments:
Post a Comment